Budak Nakal

Quotes of The Day

more Quotes

Monday 19 December 2011

Mayat Bayi




MACHANG: “Sudah enam tahun bekerja sebagai pencari sampah tetapi barangan yang saya jumpa kali ini lain daripada sebelumnya hingga tidak mampu mengawal emosi dan meraung,” kata pencari sampah, Rusmi Shafei, 30.
Bapa kepada dua anak itu berdepan situasi mendebarkan apabila menemui mayat bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat serta mempunyai kesan darah dalam kotak dibuang di pusat pelupusan sampah di Labok, dekat sini, semalam.

Katanya, kejadian itu disedari jam 1.30 tengah hari, ketika dia bersama rakannya mahu mengambil sampah dari sebuah lori yang baru tiba di kawasan terbabit.
“Ketika itu saya bersama sembilan rakan yang lain mahu menyerbu sampah yang dibawa sebuah lori, selain mahu mengambil barangan yang masih boleh digunakan.

“Mata saya kemudian terarah kepada kotak yang siap berbungkus plastik sebelum mengambil dan membukanya. Ketika itu saya nampak sesuatu yang pelik pada bungkusan itu dan selepas diamati ia adalah muka bayi lelaki,” katanya.

Katanya, dia kemudian meminta rakannya, Rohani Salleh, 50, menghubungi polis. Menurut Rohani, dia terlalu sedih melihat keadaan bayi berkenaan yang diletakkan dalam kotak.
“Saya tergamam kerana sepanjang mencari barangan di tapak terbabit, inilah kali pertama terjumpa mayat bayi yang dibuang tanpa belas kasihan.

“Saya tidak dapat bayangkan perasaan dan hati ibu kepada bayi berkenaan kerana sanggup bertindak demikian terhadap bayi itu. Yang pasti ibu berkenaan perlu dihukum walau dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sebelum bergegas bersama beberapa anggotanya ke lokasi pusat pelupusan sampah di Labok.

“Ketika tiba di lokasi terbabit, pemeriksaan kemudian dilakukan dan mendapati mayat bayi lelaki berusia kira-kira dua hari, atau pun kurang daripada itu di situ.

“Mayat itu masih bertali pusat dan darah melekat pada kain membalutnya,” katanya.

Che Malek berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.


Credit to :Kak Lyssa

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...